FAKTA 14: LIMA MITOS YANG BIASA KITA DENGAR TENTANG MINYAK ZAITUN

Sudah separuh bulan kempen #MerdekaZaitun berjalan, Alhamdulillah masih Allah mudahkan setiap hari masih sempat untuk saya nukilkan panduan untuk pengguna.
Kempen ini adalah usaha saya bersifat neutral tanpa mempromosi apa-apa jenama minyak zaitun termasuk yang saya jual.
Niat saya hanyalah untuk kebaikan pengguna, empowerment of olive oil users in Malaysia.
Hari ini kita sembang ulang tentang lima mitos yang sering kita dengar dalam skrip jualan minyak zaitun.
i. HARVEST DATE TIDAK PENTING
Harvest date adalah SANGAT PENTING untuk pengguna minyak zaitun.
Daripada harvest date baru kita boleh tahu sama ada minyak itu masih elok untuk digunakan.
Kalau kita di pasaraya, nampak botol cantik, produk datang dari Eropah, pembotolan pun ada suntikan nitrogen TETAPI di botol tidak ditulis harvest date.
Nak beli atau tidak?
Sebagai pengguna kita perlu ambil ‘worst case scenario’ iaitu bila pengeluar tidak berani letak harvest date ertinya minyak itu adalah minyak yang lama. Yang sudah tidak sesuai lagi untuk kita guna.
Jadi, tanpa harvest date, JANGAN BELI, JANGAN GUNA.
ii. MINYAK ZAITUN TIDAK AKAN ROSAK
Minyak zaitun ni bahan segar. Lagi lama ia disimpan ia akan menjadi semakin kurang khasiat sampailah satu tahap ia rosak dan tidak sesuai lagi dimakan.
Untuk melambatkan ia ‘basi’ maka kita gunakan beberapa pendekatan seperti menggunakan botol gelap kalis sinar UV (elak cahaya) dan suntikan nitrogen sewaktu penyimpanan dan pembotolan (elak oksigen).
Namun, apa pun proses yang kita buat, tetap tak akan dapat menghentikan proses semula jadi.
Minyak zaitun yang disimpan secara betul hanya boleh bertahan antara 18 ke 24 bulan dari harvest date. Lebih dari itu, jangan ambil.
iii. JUMLAH NUTRIEN DALAM MINYAK ZAITUN
Apa juga bahan asli akan berubah sifat. Buah dari pokok yang sama tak akan sentiasa ada rasa yang sama.
Samalah juga dengan minyak zaitun, kandungannya tidak akan kekal sama, jadi ia perlu diuji dari masa ke masa.
Setiap kali musim menuai (harvest) buah zaitun, perahan zaitun akan dihantar untuk ujian makmal dan sensori, dan ia sentiasa menghasilkan keputusan yang berbeza.
Minyak yang sama kalau diuji pada bulan Januari kemudian diuji lagi pada bulan Jun pasti akan menghasilkan bacaan yang berbeza.
Sebab itulah pengeluar minyak zaitun tak akan tulis apa khasiat yang ada pada minyak, kita tahu ia akan berubah mengikut masa.
Maka kalau anda jumpa penjual yang kata produknya ada 20 atau 30 kali ganda khasiat, tanyalah semula bila ujian itu dibuat.
Kalau dia guna data ujian 10 tahun lalu untuk jual minyak pada hari ini, pasti ada sesuatu yang tak kena di situ. Hati-hati.
iv. NEGARA ASAL MINYAK ZAITUN
Ini memang masalah dunia. Ada minyak zaitun katanya dari Itali tapi sebenarnya dari Tunisia. Minyak Tunisia ni harganya murah.
Sebagai contoh, Itali eksport 100 juta tan minyak zaitun tetapi hanya keluarkan 50 juta tan. Mereka import lagi 50 juta tan, dibotolkan di Itali dan dijual sebagai minyak berasal dari Itali.
Ada jenama yang memang tak ada pokok minyak zaitun pun tapi hanya beli dan botolkan semula.
Pengguna baca label betul-betul. Ada butiran pengeluar (bukan pengedar), negara asal dan harvest date, insya-Allah selamat.
v. MANIPULASI LABEL
Ini satu lagi kes naya.
Minyak refine yang dicampur dengan Extra Virgin Olive Oil dijual dengan label yang direka untuk buat pembeli keliru.
Kita baca sekali lalu nampak macam Extra Virgin tapi rupanya tulisan refine/pure/light/extra light/refined/pomace dia kecil sahaja.
Kena lihat betul-betul baru perasan.
Siapa yang rugi?
Kita dan keluarga kita.
Nazran Abd Mutalib
Certified Olive Oil Sommelier & Olive Oil Quality Assessor.
Pendidik Minyak Zaitun Malaysia.