#16 EMPAT JENIS PENIPUAN MINYAK ZAITUN

FAKTA 15: EMPAT JENIS PENIPUAN MINYAK ZAITUN
Assalamualaikum, semoga sihat dan dipermudahkan segala urusan.
Semalam kita sembang tentang lima mitos tentang minyak zaitun, hari ini kita nak pergi lebih dalam tentang penipuan-penipuan yang berlaku dalam industri ini.
Kenapa penipuan boleh berlaku?
Apa sahaja bahan makanan yang berharga atau bernilai tinggi akan mempunyai sumber-sumber penipuan kerana ia boleh mendatangkan keuntungan.
Kita ambil contoh madu lebah – kerana harganya yang mahal, maka ada pihak yang ambil kesempatan untuk buat madu palsu.
Tidak ketinggalan, Saffron yang merupakan antara makanan termahal di dunia. Ada juga yang buat Saffron palsu dan dijual dalam pasaran.
Minyak Zaitun pun menerima nasib yang sama. Ia adalah bahan makanan yang mahal dan sudah tentu ada pihak yang membuat produk minyak zaitun palsu demi untuk mendapatkan keuntungan.
Ada banyak cara orang menipu untuk jual minyak zaitun. Saya kongsikan di sini beberapa cara yang biasa berlaku.
Pertama, minyak zaitun dicampurkan dengan minyak lain (yang bukan minyak zaitun).
Sebab minyak zaitun harganya mahal, ada pihak yang mencampurkannya dengan minyak jenis lain seperti minyak canola, minyak bunga matahari dan apa-apa minyak lain yang lebih murah.
Kedua, penipuan dengan menjual minyak zaitun gred rendah sebagai minyak zaitun gred tinggi. Minyak yang berkualiti Virgin dijual sebagai Extra Virgin.
Bila dah jual sebagai Extra Virgin, harganya pun ikut harga Extra Virginlah. Pembeli bayar lebih hanya untuk dapat produk yang berharga lebih rendah.
Ketiga, minyak zaitun saringan semula (refine) yang dicampur dengan minyak Extra Virgin.
Kita dah bincang sebelum ini dalam kempen #MerdekaZaitun bahawa minyak refine ini adalah minyak yang asalnya di’reject’ dan tidak sesuai untuk kegunaan manusia.
Minyak ini kemudiannya diproses semula, dibuang itu ini, ditambah itu ini dan dicampur dengan minyak zaitun Extra Virgin semata-mata untuk menarik perhatian pembeli.
Cuba kita bayangkan, benda buruk dicampur dengan benda baik, adakah ia akan mengubah bahan buruk itu menjadi baik? Sudah tentu tidak. Bahkan bahan buruk itu hanya akan merosakkan bahan yang asalnya baik.
Penipuan keempat adalah apabila label pada botol minyak zaitun direka dengan cara yang sengaja mengelirukan pengguna.
Ada label yang dari jauh kita nampak tulisan EXTRA VIRGIN OLIVE OIL tetapi bila kita datang dekat barulah nampak ada perkataan ‘refine olive oil’ di situ.
Ada label yang di depan tulis ‘OLIVE OIL’ tetapi bila kita lihat di belakang botol baru nampak ada rupa-rupanya ia adalah minyak yang telah diproses semula seperti refine, pure, light, extra light, refined, dan pomace.
Sebenarnya, penipuan minyak zaitun berlaku di seluruh dunia.
Tetapi ada sesetengah negara yang ada undang-undang ketat jadi ada sedikit pengawalan seperti di Australia dan Jepun yang ada garis panduan standard mereka sendiri.
Standard ini mengawasi ujian gred, proses pembotolan dan label pada produk berasaskan minyak zaitun. Patuh piawaian ini barulah produk boleh dijual di pasaran negara mereka.
Esok, saya akan ceritakan tentang penipuan minyak zaitun di Malaysia. Nantikan!
Nazran Abd Mutalib
Certified Olive Oil Sommelier & Olive Oil Quality Assessor.
Pendidik Minyak Zaitun Malaysia.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *