FAKTA 19: BERKENALAN DENGAN ISTILAH ‘ORGANIK’

Zaman ini semua orang utamakan organik terutamanya dalam makanan. Sayur-sayuran, buah-buahan, kita dimomokkan organik.
Jadi macam biasa, bila ada barang yang mahal maka adalah pihak yang cuba ambil kesempatan demi kerakusan wang.
Ada yang betul-betul organik, ada yang hanya ‘katanya’ organik.
Jadi apakah pengkelasan organik yang sebenarnya?
Nak mudah faham, bagi produk makanan, ia mesti dihasilkan tanpa kehadiran bahan-bahan tidak organik seperti baja dan racun perosak kimia.
Ia mesti bebas dari penggunaan pengawet, perasa dan pewarna tidak organik.
Pewarna yang digunakan mungkin datang dari tumbuh-tumbuhan seperti bunga telang untuk warna biru, daun pandan untuk warna hijau dan sebagainya.
Tumbuhan yang digunakan juga perlu ditanam secara organik untuk disahkan sebagai 100 peratus organik.
Kita ambil contoh, jus limau. Kalau pun buahnya organik tetapi selepas diperah ia dicampur pemanis dan pewarna tiruan, nilainya berubah menjadi produk tidak organik.
Bila ada campuran bahan lain yang tidak organik, produk itu sudah dianggap tidak organik walaupun bahan asasnya organik.
Seterusnya, kita berkenalan dengan badan-badan yang mengawal produk organik di dunia.
Yang paling famous di dunia adalah USDA Organics. Mereka ada mengeluarkan beberapa pengkelasan organik antaranya seperti
100 peratus organik
Organik
Dibuat daripada bahan organik
Keduanya ada EU Organics. Ia mengawal produk organik dari negara-negara di bawah Kesatuan Eropah (European Union).
Bagi pengeluar dari luar Amerika dan EU, mereka boleh juga mendapat pengelasan USDA Oganics dan EU Organics dengan mematuhi piawaian yang ditetapkan kedua badan ini.

Manakala badan pengawasan organik yang mempunyai standard paling ketat di dunia adalah Japanese Agricultural Standards (JAS).
Produk makanan yang ada pengiktirafan JAS adalah produk berkualiti tinggi. Setiap pengiktirafan mana-mana badan organik akan disertakan dengan nombor siri pensijilan identiti syarikat pengeluar.
Nombor ini perlu dipaparkan bersama logo badan pengiktiraf setiap kali ia digunakan. Kalau ia dicetak pada botol produk, kena ada logo dan nombor siri.
Bila guna untuk paparan di iklan atau signboard pun kena pastikan logo dan nombor siri dipaparkan bersama.
Ini dibuat demi membolehkan sesiapa sahaja membuat semakan silang tentang status dan kesahihan pengiktifafan yang diberi bagi mengelak penggunaan logo pengiktirafan secara palsu atau tidak sah.

Bagi minyak zaitun, pensijilan organik bukan hanya diberi kepada pengeluar atau pengilang.
Pemilik ladang juga perlu mendapatkan status pensijilan organik untuk menghasilkan buah zaitun organik.
Kilang yang nak keluarkan minyak zaitun organik kena guna buah zaitun organik.
Buah zaitun organik hanya boleh didapati daripada kebun yang disahkan organik.
Ada kebun yang dapat pensijilan organik.
Ada juga kebun yang melaksanakan penanaman secara organik tetapi tidak dapat pensijilan organik.
Cara penanamannya organik tetapi kebunnya tak dapat sijil organik.
Kenapa dan bagaimana situasi ini boleh berlaku?
Sebab pada tanah tapak kebun zaitun produk ini masih ada kesan baja yang digunakan kira-kira 10 ke 20 tahun yang lalu.
Atas sebab ini walaupun penanaman dibuat secara organik, kebun itu tidak akan dapat status organik kerana tanahnya tidak patuh syarat pensijilan organik yang ditetapkan.
Jadi pekebun tak boleh jual hasilnya sebagai produk organik dan pengilang yang menggunakan hasil kebun ini tidak boleh melabelkan produknya sebagai minyak zaitun organik.
Di sinilah pengguna perlu berhati-hati.
Ada penjual yang mengambil kesempatan dengan mengatakan produk mereka adalah organik tetapi bila kita minta sijil, tidak ada.
Ini biasa berlaku kepada pengeluar yang hanya klaim mereka melaksanakan cara penanaman organik tetapi pada hakikatnya baik kilang mahupun kebun mereka tiada pensijilan organik.
Produk yang saya jual pun walaupun datang dari syarikat yang sama, dari negara yang sama, ada yang ada pensijilan organik dan ada juga yang tiada pensijilan organik.
Penjual yang jujur akan menjelaskan dengan baik kepada pengguna akan perbezaan kedua jenis produk ini agar pengguna dapat membuat pilihan termaklum (informed choice).
Esok kita sambung lagi sembang tentang topik organik dan apa yang anda perlu buat untuk elakkan dari tertipu.
Nazran Abd Mutalib
Certified Olive Oil Sommelier & Olive Oil Quality Assessor.
Pendidik Minyak Zaitun Malaysia.