#21 STATUS ORGANIK? PERIKSA DAHULU…

FAKTA 20: STATUS ORGANIK? PERIKSA DAHULU…
Hari ini kita sambung cerita tentang pensijilan organik.
Kalau semalam saya beri gambaran kasar tentang pensijilan organik dalam konteks umum, hari ini saya ‘jentik’ sikit ya…
Mari kita lihat penanaman yang dikatakan organik di Cameron Highlands. Mereka guna cara penanaman organik, kebun tertutup, tidak guna baja…tetapi air sungainya datang dari mana?
Sungai yang sudah melalui kebun-kebun lain yang guna baja, kemudian air itu digunakan di kebun yang mengamalkan penanaman organik, adakah ia masih dikira organik? Fikirkan.
Status organik ini bukan hanya cerita tentang cara tanam tetapi merangkumi juga faktor sekitar seperti tanah tetapi juga sumber air.
Walaupun jarak kebun kita dengan yang guna baja kimia itu jauh tetapi sisa (residue) masih ada. Akibatnya bila sumber air ini digunakan oleh kebun organik ia tetap memberi kesan kepada tahap ‘ke-organik-an’ tanaman kita.
Kalau kebun organik kita terletak bersebelahan dengan kebun tidak organik, dia pakai racun kita tak pakai, tetap kebun kita tak akan dapat pensijilan organik kerana dikhuatiri ada macam-macam cara pencemaran silang yang mungkin berlaku.
Angin tiup dari kebun dia ke kebun kita boleh bawa sisa kimia. Dah tolak markah di situ.
Lebah yang hinggap di tanaman kebun sebelah kemudian datang ke tanaman kita, berlaku pula proses pendebungaan (pollination), itu pun dikira tolak markah juga.
Sebab itu perlu ada zon penampan (buffer zone). Kebun organik mesti berjiran dengan kebun organik.
JAS – TERBAIK DI DUNIA
Kembali kepada artikel saya semalam, ada beberapa badan pengiktiraf organik di dunia masing-masing ada kayu ukur masing-masing.
Pengilang yang baik akan ketepikan USDA. Mereka hanya akan fokus EU dan JAS sahaja.
Sebab?
USDA ada pelbagai kategori pematuhan berbeza. Ada kategorinya yang boleh campur bahan tidak organik, tetapi boleh letak logo USDA Organik. Itu yang leceh.
JAS pula walaupun syarat pematuhannya terketat di dunia.
Majoriti pengeluar organik dari Indonesia dan Thailand ada JAS. Bayangkan, dengan syarat pematuhan paling ketat dalam dunia pun negara jiran kita boleh ikut piawaian mereka.
Dengan pematuhan ini, mereka jual ke pasaran Jepun dan mana-mana negara lain yang guna piawaian JAS.
Pasaran jadi luas, nilai produk jadi tinggi.
HATI-HATI WAHAI PENGGUNA
Untuk pengguna, saya nak ingatkan sebab logo organik ni ‘laku’ maka banyaklah penipuan yang berlaku.
Yang tak ada sijil organik pun guna logo organik.
Ada satu kes di Malaysia, satu jenama produk kecantikan jatuh hanya kerana mereka salah isytihar produk mereka sebagai organik.
Mula-mula memang dapat sambutan. Orang percaya bila mereka mengaku organik tetapi selepas ada pihak yang mempersoalkan, bermulalah kejatuhan mereka.
Soalan yang dilempar kepada mereka amat mudah iaitu – Bagaimana mereka boleh isytihar minyak kelapa sawit yang mereka guna sebagai bahan organik? Tak ada orang tanam kelapa sawit secara organik bang oi..!
Bila orang tahu, orang tinggalkan syarikat itu. Ejen tinggalkan syarikat, pengguna tinggalkan produk.
Oleh itu, kalau kita peniaga janganlah mudah nak mengaku produk kita organik
Kepada pengguna, bila jumpa produk yang klaim ia berstatus organik, lihatlah semula kepada pensijilannya.
Di sinilah pentingnya maklumat pengeluar. Sebab sijil organik diberi kepada pengeluar, bukan pengedar.
Kalau maklumat pengeluar pun tak ada di botol, macam mana anda nak tahu kesahihan status organiknya?
Setiap pengiktirafan mana-mana badan organik akan disertakan dengan nombor siri pensijilan identiti syarikat pengeluar.
Nombor ini perlu dipaparkan bersama logo badan pengiktiraf setiap kali ia digunakan. Kalau ia dicetak pada botol produk, kena ada logo dan nombor siri.
Jangan lupa juga, satu pengeluar boleh ada pelbagai produk. Dan boleh jadi tak semua produk mereka ada status organik.
Caknalah wahai pembacaku!
Nazran Abd Mutalib
Certified Olive Oil Sommelier & Olive Oil Quality Assessor.
Pendidik Minyak Zaitun Malaysia.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *