FAKTA 25: INDUSTRI ZAITUN DI PALESTIN MERDEKA DARI ISRAEL!
Semalam saya ada sentuh sedikit tentang petani zaitun di Palestin.
Memang sesuatu yang biasa bila sahaja saya buka cerita tentang hal ini orang akan tanya “bukankah Palestin sentiasa diserang Israel, macam mana boleh bertani pula?”
Jadi hari ini saya nak cerita tentang ekosistem industri minyak zaitun di Palestin. Dengar baik-baik ya.

BERKENALAN DENGAN PALESTIN
Perkara paling penting untuk kita faham adalah PALESTIN ADALAH SEBUAH NEGARA BERDAULAT.
Ia ada kerajaan, ada ketua negara, ada menteri, ada kabinet dan diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Sejak 2012, Palestin telah diiktiraf sebagai sebuah negara oleh 139 daripada 193 anggota PBB.
Dengan pengiktirafan ini Palestin telah diberikan status sebagai pemerhati bukan anggota (non-member observer) oleh PBB.
Pengiktirafan dan status ini adalah langkah penting untuk menjadikan Palestin sebagai anggota PBB satu hari nanti. Kita doakan sama-sama ya.
Negara Palestin terbahagi kepada dua bahagian. Pertama Gaza yang terletak di sebelah selatan dan satu lagi adalah Tebing Barat (West Bank).
Palestin dipisahkan dengan jirannya, Jordan dengan sebatang sungai yang mana sebelah Palestin dipanggil Tebing Barat dan sebelah Jordan dipanggil Tebing Timur.
Di samping dua bahagian ini, ada satu lagi bahagian yang dipanggil tanah dijajah (occupied land). Ia asalnya milik penduduk Palestin, kemudiannya orang Israel datang, rampas tanah, buat rumah, menjalankan aktiviti pertanian dan mengaku ia tanah mereka.
Pemerintahan Palestin dilaksanakan kerajaan Palestinian National Authority yang biasa kita sebut sebagai PA.
SEPARUH PALESTIN ADALAH ZAITUN

Jumlah pokok zaitun di Palestin dianggarkan sekitar 10 juta pohon. Ia adalah tanaman utama di sana, seperti kita tanam kelapa sawit di sini.
Nilai industri berasaskan minyak zaitun di Palestin adalah sekitar 160 hingga 191 juta Dolar Amerika (USD) setahun.
Pada 2021 Al Jazeera melaporkan lebih separuh tanaman pertanian di Tebing Barat dan Gaza adalah zaitun.
Penanaman pokok zaitun difokuskan di Tebing Barat. Kawasan itu lebih sesuai kerana ia tanah tinggi, berbukit-bukau dan bergunung-ganang.
Pokok zaitun boleh hidup di kawasan kering, berbatu-batu dan mempunyai iklim ekstrem panas atau sejuk.
Jangan tak tahu pada waktu musim sejuk, Masjidil Aqsa dilitupi salji. Pada musim panas cuaca boleh meningkat sehingga 45 darjah celcius.
Kawasan penanaman zaitun di Tebing barat bermula di kawasan Jenin di sebelah utara, kemudian turun ke bawah meliputi Nablus hingga ke Ramallah. Ini kawasan yang majoritinya masih di bawah pemerintahan PA.
KEMERDEKAAN INDUSTRI ZAITUN PALESTIN

Perlu juga kita tahu bahawa International Olive Oil Council (IOC) turut mengiktiraf industri zaitun di Palestin berbeza daripada Israel.
Pengasingan ini dapat dibuat sebab Palestin adalah anggota terbaru IOC. Pada 9 April, 2017 Palestin telah diiktiraf sebagai anggota rasmi IOC.
Bila PBB iktiraf Palestin sebagai sebuah negara, maka mereka boleh sertai perjanjian antarabangsa. Pada 2015 Palestin dapat sertai perjanjian International Agreement on Olive Oil and Table Olives.
Dengan perjanjian ini, IOC dengan tangan terbuka menerima Palestin sebagai anggota. Ini membuka era baru dalam industri zaitun Palestin.
Sejak jadi anggota IOC, laporan-laporan IOC akan sentiasa membezakan data dari Palestin dan dari Israel.
Ertinya di mata dunia, minyak zaitun Palestin adalah sebuah negara pengeluar minyak zaitun dan TIDAK ADA KAITAN LANGSUNG dengan Israel. MERDEKA!!!
Jadi kalau anda jumpa minyak zaitun yang ditulis ‘Made in Palestine’ maka percayalah ia tiada kaitan langsung dengan Israel…
Nazran Abd Mutalib
Certified Olive Oil Sommelier & Olive Oil Quality Assessor.
Pendidik Minyak Zaitun Malaysia.