FAKTA 27: KEBUN ZAITUN SEBAGAI BENTENG MEMPERTAHANKAN TANAH PALESTIN

Isu utama di Palestin adalah tentang PEMILIKAN TANAH.
Kalau kita tengok dari aspek sejarah sejak 50 tahun dahulu ramai rakyat Palestin telah meninggalkan tanah tumpah darah mereka.
Mereka telah dihalau keluar dari tanah asal mereka hingga terpaksa tinggal di kem-kem pelarian di sekitar Palestin, Jordan, Syria sehingga ke Lubnan.
Tanah yang ditinggalkan kemudiannya dijajah pendatang rejim Zionis.
Mungkin anda tertanya-tanya, kalau dah ada sempadan yang jelas antara Palestin dan Israel seperti yang ceritakan semalam, macam mana rampasan boleh berlaku?
Israel ni mentalitinya penjajah. Jadi mereka sentiasa mencari peluang untuk merampas tanah.
Secara konsep pula, sebenarnya orang Palestin tidak sepatutnya meninggalkan tanah mereka.
Namun atas desakan keadaan, ada yang terpaksa keluar demi meneruskan kehidupan.
Bila mereka tinggalkan tanah mereka terbiar tanpa mengerjakan tanah, tanpa membina apa-apa di atas tanah itu, tanpa menjalankan apa-apa aktiviti ekonomi di tanah tersebut atau tanpa menjalankan aktiviti pertanian, tanah yang ditinggalkan itu akan dirampas oleh pendatang Israel.
Sebagai contoh, kalau saya ada ladang zaitun di kampung A tetapi saya tak lawat pun ladang tu, saya tak usahakan tanah itu dan hidup saya lebih tertumpu kepada kerja saya di bandar atau saya bekerja di negara di luar Palestin seperti Jordan, Amerika, Eropah atau mana-mana negara Timur Tengah yang lain,
Maka jangan terkejut satu hari nanti ladang atau tanah yang saya tinggalkan itu akan diambil alih oleh pendatang.
KEBUN ZAITUN: FUNGSI DUA DALAM SATU
Bagi memastikan tidak ada lagi keluarga yang meninggalkan tanah mereka demi mencari sumber penghidupan, pembangunan ekonomi dijadikan sebagai teras dalam pemerintahan kerajaan Palestin.
Industri dan aktiviti pertanian ditingkatkan supaya tanah-tanah boleh mendatangkan hasil untuk menyara keluarga.
Dengan ini, keluarga petani tidak perlu tinggalkan tanah mereka untuk mencari rezeki di luar negara.
Hasil usaha kerajaan Palestin dengan syarikat swasta di Palestin selama bertahun-tahun kini mula membuahkan hasil.
Pertama, mereka telah berjaya meningkatkan aktiviti pertanian dan menarik rakyat mereka yang dahulunya kerja di luar negara pulang ke tanah air Palestin untuk mengusahakan tanah dengan jaminan pendapatan yang stabil.
Apabila tanah aktif dengan aktiviti ekonomi, penjajah tidak boleh masuk dan rampas tanah sesuka hati mereka seperti dahulu.
Kedua, dengan memberi fokus kepada sistem tanaman yang lebih efektif, menggunakan mesin berteknologi tinggi, mendapat pengiktirafan organik, pematuhan syarat fair trade dan sebagainya telah membantu petani dan keluarga meningkatkan tahap ekonomi mereka dan menyara keluarga untuk hidup selesa.
Saya boleh buat dia kesimpulan di sini:
i. Kebun zaitun yang aktif berperanan sebagai benteng daripada pencerobohan Israel.
ii. Kebun zaitun juga menjadi sumber pendapatan berpenghasilan tinggi meningkatkan tahap sosio-ekonomi petani.
STRATEGI BIJAK LAWAN ISRAEL
Sebenarnya, aktiviti ekonomi di Palestin yang semakin rancak adalah strategi bijak, tanpa unsur provokasi, lebih efektif dan lebih efisien untuk melawan Israel secara tidak langsung.
Sebelum ini negara Palestin bergantung kepada sumbangan dari negara-negara Islam untuk menampung kos pentadbiran.
Tapi sekarang kerajaan Palestin sudah dapat mengutip cukai sehingga menjadi self-sustainable country.
Bukan hanya itu, ia sedang memperbanyakkan ‘self-sustainable families’ bagi mengukuhkan sumber sara hidup keluarga.
Kerajaan memainkan peranan dengan menyediakan fasiliti sekolah hingga universiti untuk anak-anak Palestin.
Keluarga pula dengan kekuatan ekonomi mikro, mampu untuk menghantar anak-anak ke sekolah.
Ekosistem ini memberi kesan jangka pendek dan jangka panjang yang akhirnya akan menguntungkan negara dan meningkatkan imej Palestin di mata dunia.
Begitulah kisahnya bagaimana Palestin melawan Israel tanpa senjata.
Nazran Abd Mutalib
Certified Olive Oil Sommelier & Olive Oil Quality Assessor.
Pendidik Minyak Zaitun Malaysia.
p.s:
Antara simbol perjuangan orang Palestin adalah mereka masih menyimpan kunci-kunci rumah mereka yang berusia ratusan tahun.
Harapan mereka adalah suatu hari nanti mereka boleh pulang ke kampung halaman dan menggunakan kunci itu untuk membuka pintu rumah mereka.