#30 NAK BANTU PALESTIN? BELILAH PRODUK MEREKA.

FAKTA 29: NAK BANTU PALESTIN? BELILAH PRODUK MEREKA.
Cara paling efektif untuk bantu masyarakat Palestin adalah dengan menyokong pembangunan ekonomi mereka.
Di Malaysia, kita kenal Palestin sebagai sebuah negara bergolak penuh dengan kesusahan dan memerlukan bantuan kita.
Rakyat Malaysia memang simpati dengan nasib saudara di Palestin. Kempen mengutip sumbangan dijalankan secara giat dengan pelbagai cara.
Ada yang hantar sumbangan wang ringgit, ada yang sumbang tenaga, ilmu dan kepakaran.
Melalui pengalaman, saya mendapati bantuan yang terbaik adalah dengan meningkatkan taraf ekonomi mereka. Fighting through the economy is better than using weapons.
Ajaran Islam juga tidak mengajar kita untuk meminta-minta. Islam mengajar kita untuk berusaha. Saudara kita di Palestin sedang berusaha.
Jadi bila petani dan penduduk Islam Palestin berusaha meningkatkan ekonomi mereka, wajar bagi kita menyokong dengan membeli produk yang dihasilkan petani dan pengusaha Islam Palestin.
Melalui cara ini, mereka akan mendapat keuntungan dan pendapatan secara langsung.
Kita juga tidak menjatuhkan air muka atau maruah mereka seolah-olah mereka hidup hanya atas ihsan atau bergantung kepada sumbangan. They actually work for it.
TIDAK GALAK BANTUAN WANG TUNAI
Kenapa saya tidak galakkan pemberian bantuan dalam bentuk wang tunai?
Ada dua sebab. Pertama kerana kesuiltan menghantar dana ke sana dan kedua, bagi mengelak ketirisan.
Untuk pengetahuan, menghantar sumbangan ke Palestin bukanlah sesuatu yang mudah.
Saya yakin NGO tempatan yang mengutip bantuan untuk Palestin akan berusaha menghantar sumbangan ke Palestin dengan cara tersendiri.
Tetapi seperti yang kita tahu segala urusan kewangan yang dihantar ke Palestin mesti melalui bank yang kebanyakannya dikawal oleh Israel.
Sama dengan situasi di Malaysia, bila ada dana yang dihantar melebihi nilai tertentu, (contohnya RM 10,000) ia mesti direkodkan oleh bank yang menguruskan transaksi dan kemudiannya direkod di Bank Negara.
Kalau tidak, mungkin pihak yang terlibat dengan transaksi (penghantar dan penerima) akan disabitkan dengan aktiviti jenayah komersil seperti pengubahan wang haram dan sebagainya.
Sama juga di Palestin, keluar masuk duit akan dikawal oleh kerajaan Israel supaya tidak ada sumbangan yang disalurkan kepada aktiviti yang tidak dikehendaki.
Israel nak kesan sekiranya ada dana yang disalurkan kepada aktiviti yang mereka labelkan sebagai pengganas, politik, pembelian senjata, pembuatan bom, membeli racun dan sebagainya.
Atas sebab ini akan timbul pelbagai kesulitan untuk kita hantar bantuan kewangan ke Palestin, akibat kekangan yang dikenakan oleh pihak Israel.
URUS NIAGA SAH
Oleh itu cara paling mudah untuk beri bantuan atau memberi sokongan ekonomi kepada orang Palestin adalah dengan membeli produk yang dihasilkan oleh pengusaha di Palestin.
Kenapa cara ini adalah yang paling praktikal dan efisien?
Pembaca sekalian, seperti mana transaksi rentas sempadan dengan mana-mana negara lain di dunia, amat penting untuk kita pastikan dana masuk ke Palestin dengan cara yang sah.
Tiada transaksi yang lebih baik berbanding perniagaan yang sah yang dilaksanakan dengan cara yang telus dan patuh undang-undang.
Katakanlah kita beli produk bernilai lima ratus ribu, itu adalah nllai bagi produk yang dihasilkan di Palestin, dikerjakan oleh pekerja di kilang-kilang di Palestin dan bahan asasnya dikeluarkan oleh petani-petani di Palestin.
Bila kita beli, nilai lima ratus ribu itu keseluruhannya itu akan mengalir ke bawah, tersebar kepada pekerja sebagai gaji, kepada pengusaha sebagai keuntungan dan kepada petani sebagai hasil jualan bahan mentah.
Jadi, keseluruhan nilai yang kita bayar dari Malaysia itu akan dapat sampai kepada semua orang yang terlibat dalam aktiviti produk pertanian dan perniagaan tersebut.
Cuba bayangkan bagaimana cara untuk kita hantar bantuan dalam bentuk sumbangan kewangan ke Palestin,
Transaksi bank bernilai lima ratus ribu itu nak ditujukan kepada siapa?
Siapa penerimanya?
Bagaimana pula cara pembahagiannya?
Adakah dana itu dapat dihantar sepenuhnya atau hanya sebahagian sahaja yang dapat masuk ke Palestin?
DANA SAMPAI KEPADA SEMUA
Bila kita beli produk Palestin, kita berurusan dengan real business dan real businessman.
Ada barang, ada penjual, ada pembelinya, ada dokumen transaksi yang sah, ada invois dan transaksi pembayaran melalui bank berdaftar.
Berapa sahaja jumlah yang tertera di dalam invois,nilai itulah yang akan diterima mereka.
Jika nilai invois adalah lima ratus ribu maka kita hantar lima ratus ribu ke Palestin. Tidak kurang, tidak lebih, tidak ada ketirisan di mana-mana.
Bayaran masuk ke akaun pengusaha dan ia akan digunakan untuk membayar cukai kepada kerajaan Islam Palestin, untuk membayar gaji pekerja, dan untuk membayar para petani atas bahan mentah yang dikeluarkan. Petani pula guna dana itu untuk menyara keluarga mereka.
Apa yang penting di sini adalah dana dapat disalurkan dari Malaysia ke Palestin secara sah di sisi undang-undang tanpa kesulitan dan tiada ketirisan dalam transaksi.
Pernah terjadi isu yang dibangkitkan Duta Besar Palestin di Malaysia yang mengatakan jutaan ringgit sumbangan derma dari rakyat Malaysia tidak sampai ke Palestin.
Ke manakah perginya sumbangan ini? Itulah yang dibangkitkan Duta Besar Palestin ketika itu.
Nazran Abd Mutalib
Certified Olive Oil Sommelier & Olive Oil Quality Assessor.
Pendidik Minyak Zaitun Malaysia.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *