#31 10 PESANAN PENUTUP #MERDEKAZAITUN

FAKTA 30: 10 PESANAN PENUTUP #MERDEKAZAITUN
Alhamdulillah kita dah sampai ke penghujung perkongsian #MerdekaZaitun selama 31 hari.
Sebenarnya perkongsian ini dimulakan berdasarkan kempen ‘Saving Good People From Bad Olive Oil’ yang saya jalankan sejak beberapa tahun.
Tahun ini saya mahu cipta kelainan dengan membuat kempen habis-habisan. Perah segala ilmu yang ada untuk anda.
Saya percaya cara paling mudah menyedarkan para pengguna adalah dengan perkongsian ilmu yang betul, bersifat neutral, tidak berpihak, tidak memuji atau menghentam mana-mana jenama.
Pada minggu pertama kempen saya memberi fokus untuk memperkenalkan anda kepada jenis-jenis minyak zaitun, kemudian saya sentuh tentang musuh-musuh minyak zaitun.
Minggu kedua, saya memberi amaran tentang jenis minyak zaitun yang merosakkan badan kita. Ini amat penting agar kita benar-benar mendapat manfaat daripada penggunaan minyak zaitun dan bukan sebaliknya.
Masuk minggu ketiga dan awal minggu keempat saya memberi fokus kepada aspek kepenggunaan. Saya tidak mahu pengguna tertipu dengan minyak zaitun buruk yang ada di pasaran.
Tidak dilupakan, beberapa tip penggunaan minyak zaitun yang saya percaya dapat membuka mata pengguna supaya kita lebih terbuka dalam penggunaan minyak zaitun sehari-hari.
Di akhir kempen saya berkongsi tentang sesuatu yang amat dekat di hati saya iaitu situasi Palestin dan bagaimana industri minyak zaitun telah membantu meningkatkan taraf sosio-ekonomi masyarakat di sana.
Harapan saya supaya semua pengguna sihat walafiat selepas menggunakan minyak zaitun dan dapat meningkatkan kesedaran pengguna sehingga hilanglah minyak zaitun jahat daripada pasaran kita di Malaysia.
Sebagai rangkuman, saya sertakan 10 ‘Wasiat’ saya kepada anda:
10 CIRI MINYAK ZAITUN BERKUALITI – PILIHLAH YANG ADA SEMUA CIRI INI:
1. Guna hanya antara dua jenis minyak iaitu Minyak Zaitun Extra Virgin (EVOO) atau Virgin Olive Oil (VOO) SAHAJA.
– Jangan sekali-kali guna minyak lampante atau refinery yang lahir dalam macam-macam nama seperti ‘pure’, light, extra light, refined, pomace dan lain-lain.
2. Minyak Zaitun Hasil Perahan Sejuk atau ‘Modern Cold Pressed’
– Minyak zaitun sangat sensitif kepada haba. Jangan dedahkan ia kepada cahaya matahari atau tempat yang panas.
3. Mendapat Pengiktirafan Organik Dari JAS, EU atau USDA dan Syarikat Pengeluar dengan Pensijilan ISO-22000, Halal dan Fair Trade.
– Pilihlah pengeluar yang mengutamakan kualiti. Produk organik membuktikan bahan mentah yang diambil bebas kimia, pensijilan fair trade memastikan semua pihak dari petani sehingga pengilang mendapat hak yang sewajarnya dan tidak berlaku penganiayaan kepada mana-mana pihak.
4. Dibotolkan dalam Botol Kaca Gelap Kalis Sinar UV atau Tin Aluminium.
– Bagi mengelak minyak zaitun teroksida, amat penting untuk pengguna memilih minyak zaitun yang dibungkus dalam bekas yang betul.
5. Dibotolkan Dengan Suntikan Gas Nitrogen (Nitrogen Injection Bottling)
– Pembotolan secara manual tanpa suntikan nitrogen akan mengakibatkan minyak zaitun teroksida dengan cepat dan pengguna tidak dapat pastikan produk yang ada di tangan mereka masih elok atau tidak.
6. Mempunyai Maklumat Kadar ‘Acidity Oleic Acid’.
– Ketelusan pengeluar memaparkan maklumat yang benar akan membantu pengguna membuat keputusan terbaik dalam pembelian mereka.
7. Mempunyai Maklumat Harvest Date Pada Label.
– Pengguna perlu mengira umur minyak zaitun bermula tarikh petik (harvest) kerana pada hari yang sama buah zaitun diperah menjadi minyak.
– Kiralah umur minyak zaitun yang ada berdasarkan tarikh petik dan tidak semata-mata bergantung kepada tarikh luput (expiry date) pada botol yang boleh mengelirukan pengguna.
8. Mempunyai Maklumat Pengeluar Dengan Alamat Lengkap Dan Negara Asal Produk
– Anda perlu tahu dari maklumat penuh pengeluar agar boleh membuat semakan silang.
– Jangan beli produk yang hanya paparkan maklumat pengedar kerana boleh jadi minyak yang anda beli adalah minyak yang tidak dipastikan mana asalnya, berapa umurnya dan jenis apa.
9. Mempunyai Garis Panduan Nutritional Facts
– Sama seperti item 6 di atas, pengeluar yang baik pasti akan membantu pembeli membuat keputusan yang baik dengan menyediakan maklumat-maklumat penting agar pembeli dapat memahami produk sebelum membuat keputusan untuk membeli.
10. Mempunyai Maklumat Production Date dan Expiry Date Serta Shelf Life Tidak Melebihi 24 Bulan.
– Jangan percaya kalau ada yang kata minyak zaitun tiada tarikh luput.
Ia adalah produk makanan dan semua makanan boleh basi.
– Umur terpanjang minyak zaitun adalah 24 bulan walaupun ia dibotolkan dalam bekas kalis sinar UV dan disertakan suntikan nitrogen.
Inilah pesanan dari saya dan saya doakan agar kita semua mendapat berkah Allah SWT dalam amalan penggunaan Minyak Zaitun.
Nazran Abd Mutalib
Certified Olive Oil Sommelier & Olive Oil Quality Assessor.
Pendidik Minyak Zaitun Malaysia.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *