FAKTA 7: LAGI LAMA MINYAK, LAGI KURANG KHASIAT
Antara musuh utama minyak zaitun juga adalah tempoh masa. Lagi lama minyak, lebih menurun kandungan khasiatnya.
Apa sahaja bahan asli akan bertukar sifat dari masa ke semasa. Ia tidak akan bertukar sifat menjadi lebih baik, tetapi menjadi lebih buruk.
Kalau minyak zaitun diperah pada bulan 10 tahun ini, selepas 3 bulan kandungan khasiatnya akan menurun. Selepas 6 bulan akan turun lagi, lepas 12 bulan akan berkurang lagi.

Jadi penting untuk kita faham bahawa kita tak akan dapat khasiat yang sama walaupun kita botolkan dengan suntikan nitrogen bersama botol kaca gelap.
Pusinglah kot mana pun, lagi lama umur minyak, lagi banyak khasiatnya yang akan berkurang.
Sebab inilah penting untuk kita ketahui bilakah tarikh buah zaitun dipetik. Pengilang yang baik akan memaparkan maklumat harvest date.
Ini kerana harvest date juga adalah tarih buah zaitun diproses menjadi minyak. Selepas itu ia disimpan di dalam tangki sementara menanti proses pembotolan.
Penjual yang baik juga akan memerhatikan stoknya untuk lihat mana-mana stok yang semakin menghampiri dua tahun.
Yang saya nak tegaskan adalah, disebabkan oleh faktor masa, kandungan khasiat minyak zaitun akan menurun, ia tak akan kekal sama.
Itu yang ramai orang keliru sehingga timbulnya produk yang mengaku ia ada lebih 40 kali ganda khasiat.
Kalau ada penjual yang kata produknya memiliki berpuluh kali ganda khasiat, sebagai pengguna kita harus tanya sang penjual itu merujuk kepada data tahun bila?
Kalau hari ini masih kata ada khasiat berlipat ganda tetapi ia berdasarkan ujian dibuat pada 2011, adakah masih wajar untuk guna ayat marketing yang sama pada 2023?
Sedangkan kalau kita faham sifat minyak zaitun itu sendiri, ia tidak akan memberi keputusan yang sama bila diuji pada waktu yang berbeza.
Kalau kita uji kandungan khasiat pada Januari dan uji lagi minyak yang sama pada Mac, keputusannya pasti berbeza kerana ada pengurangan khasiat yang berlaku dalam tempoh tiga bulan itu.
Penjual yang jujur akan menjelaskan perkara ini kepada pembeli dan tidak akan menggunakan statistik yang lapuk sebagai tarikan jualan.
Di sini juga saya nak matikan mitos yang beredar dalam masyarakat kita kononnya minyak zaitun begitu istimewa sehingga ia tiada tarikh luput.
Sudah saya sebut dalam perkongsian sebelum ini bahawa minyak zaitun adalah minyak yang segar dan ia boleh basi. Tidak ada bahan makanan yang elok atas dunia ini yang akan kekal elok selama-lamanya.
Kita sambung lagi topik ini esok di bahagian kedua.
Nazran Abd Mutalib
Certified Olive Oil Sommelier & Olive Oil Quality Assessor.
Pendidik Minyak Zaitun Malaysia.