Tanggal 1 Ogos, Kempen ‘Merdeka Zaitun’ Bermula.

Assalamualaikum. Nama saya Nazran, orang Alor Setar (dibaca Loq Staq).
Pengguna minyak zaitun sejak 2004, jatuh cinta dan kemudiannya terjun dalam industri minyak zaitun pada 2012. Sehingga hari ini masih ada dalam industri.
Industri minyak zaitun ini luas. Macam-macam benda ada di dalamnya. Ada yang baik, ada juga yang tidak.
Sebagai Certified Olive Oil Sommelier & Olive Oil Quality Assessor, saya suka berkongsi pengetahuan, tip, kesedaran dan panduan keselamatan dalam pemilihan dan penggunaan minyak zaitun.
Dari situlah datangnya nama ‘Sifu Minyak Zaitun’ yang saya guna di media sosial.
Sempena bulan Ogos, bulan kemerdekaan bagi Malaysia serta dua negara jiran kita Indonesia dan Singapura, saya lancarkan kempen ‘Merdeka Zaitun’.
Apa yang nak di’merdeka’kan?
Saya ingin memerdekakan fikiran anda daripada ilmu yang salah mengenai minyak zaitun.
Bagaimana caranya?
Selama 31 hari bermula hari ini saya akan berkongsi pengetahuan asas terkait industri minyak zaitun.
Ilmu ini adalah gabungan 9 tahun pengalaman saya dalam industri serta siri latihan yang saya hadiri di luar negara.
Pada masa yang sama, saya juga mendapat perkongsian ilmu oleh lebih 120 orang pengeluar minyak zaitun dari seluruh dunia.

Bersama pokok zaitun berusia 2000 tahun di Spain.
Apa yang ingin saya capai?
Misi saya sangat jelas. Saya ingin menyelamatkan orang baik daripada minyak zaitun yang buruk (saving good people from bad olive oil).
Bagi saya, siapa sahaja yang berhajat menggunakan minyak zaitun adalah orang yang cuba mencari kebaikan dan meningkatkan kualiti kesihatan diri.
Malangnya dek kerana kurang pengetahuan mereka terperangkap dan terjerumus menggunakan minyak zaitun yang entah apa kualitinya.
Akhirnya daripada nak jadi sihat, rupa-rupanya dia meracun diri tanpa sedar!
Jadi sepanjang bulan ini kita akan cerita tentang buah zaitun, proses perahan, jenis-jenis minyak, penipuan dalam industri, sampailah kepada mitos minyak zaitun yang entah dari mana datangnya.
Peranan anda?
Pertama, ikuti penulisan saya di sini (https://www.facebook.com/NazranAbdMutalib). Orang putih kata “watch this space”.
Kedua, buka fikiran. Kosongkan gelas. Sepanjang 31 hari ini pasti ada perkara yang akan buat anda terkejut, gembira, marah, sedih, kecewa dan lain-lain. Tenangkan diri. Apa-apa hal boleh tanya saya di ruang komen.
Ketiga, kongsikan setiap post kempen ‘Merdeka Zaitun’ ini. Anda pandai, isteri pandai, mak ayah pandai, saudara-mara pandai dan lepas ini jangan ‘terkena’ lagi, okay!
Terakhir – Buatlah keputusan dengan bijak. Selepas saya buat bahagian saya untuk berkongsi ilmu, terpulanglah kepada anda pula untuk membuat keputusan selanjutnya ya.
Sekian, salam MERDEKA dari saya.
Nazran Abd Mutalib
Certified Olive Oil Sommelier & Olive Oil Quality Assessor.
Malaysian Leading Olive Oil Educator.
.