PELANCARAN KEMPEN “PALESTIN DI SETIAP RUMAH”.

KEMPEN ‘PALESTIN DI SETIAP RUMAH’
“BANTU DIRI, BANTU PALESTIN”.
Misi Hantar Tiga Juta Ringgit ke Palestin.
SHAH ALAM, 8 Dis (AL ARD) – Kempen ‘Palestin Di Setiap Rumah’ dilancarkan hari ini untuk memperkenalkan produk asli dari Palestin di Malaysia dalam usaha mengelakkan pembeli dari tertipu dengan penjualan produk palsu kononnya datang dari negara itu di pasaran.
Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali dalam ucapan perasmiannya berkata pihak kedutaan membantah sebarang perbuatan yang memperkudakan sokongan dan empati rakyat Malaysia terhadap rakyat Palestin demi meraih keuntungan.
“Kempen ini dilaksanakan pada waktu yang tepat dan bagi pihak kedutaan, saya memohon rakyat Malaysia untuk memeriksa dahulu kesahihan produk yang dikatakan datang dari Palestin sebelum membelinya agar mereka tidak ditipu,” kata beliau.
Tambah Walid, cara terbaik membantu rakyat Palestin adalah dengan membeli produk asli keluaran mereka.
“Rakyat Palestin bukannya hanya mahu meraih simpati. Kami melakukan perniagaan sebagai usaha membangunkan ekonomi yang akhirnya dinikmati setiap lapisan rakyat.”
“Melalui perniagaan jugalah segala sokongan kewangan dapat disalur ke Palestin dengan cara yang telus, tanpa sebarang ketirisan,” tegas beliau.
Melalui kempen ini, rakyat Malaysia dapat menunjukkan sokongan melalui pembelian produk asli keluaran Palestin dan hasil jualan dapat disalurkan terus kepada masyarakat Palestin di sana.
Turut didatangkan khas ke perasmian kempen ini adalah Subhi Anabtawi, Timbalan Pengarah Al’ard Palestinian Agri-Products Limited yang berpengkalan di Nablus, Palestin.
“Saya dihubungi salah satu pengeluar sabun terbesar di Palestin iaitu syarikat Al Jamal yang meminta bantuan kami (Al’Ard) untuk membenteras perbuatan menjual produk palsu menggunakan jenama mereka yang berleluasa di platform jualan dalam talian di Malaysia”.
“Kempen ini adalah usaha bersama kami para usahawan Palestin. Kelebihan Al’Ard dalam mejayakan kempen ini adalah kerana kami telah bertapak di Malaysia sejak hampir 10 tahun lalu.
Dengan kerjasama Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali, kami akan mempromosikan produk Palestin yang sebenar untuk melawan penipuan ini,” jelas Subhi.
Sementara itu Pengarah Al’Ard Far East Sdn. Bhd. Nazran Abd Mutalib berkata kempen ini menyasarkan pengumpulan dana bernilai tiga juta ringgit untuk disalurkan ke Palestin.
Ia juga bertujuan untuk berkongsi kebaikan kesihatan produk Palestin berasaskan minyak zaitun organik tanaman pekebun tempatan di sana.
“Motto kempen ini adalah ‘Bantu Diri Bantu Palestin’.
Istilah ‘Bantu Diri’ merujuk kepada kebaikan kesihatan yang dinikmati pengguna produk Palestin yang berkualiti tinggi.
Kami juga berharap para usahawan tempatan yang menjual produk dari Palestin turut mendapat tempiasnya melalui peningkatan jualan mereka.”
“Manakala istilah “Bantu Palestin” merujuk kepada peranan kami sebagai usahawan sosial di Palestin di mana setiap ringgit dapat disalur terus kepada pekebun, pekerja, pemandu lori dan pelbagai lapisan masyarakat Palestin kerana kami mempunyai rangka kerja yang menepati piawaian yang ditetapkan badan antarabangsa iaitu Fair Trade International,” ulas Nazran.
Kempen ini akan dijalankan secara berterusan sehingga ia mencapai nilai dana yang disasarkan.
Sepanjang kempen ini pihak Al’Ard akan berkongsi bahan-bahan berbentuk pendidikan, impak sosial dan pencapaian pengumpulan dana dari masa ke masa melalui laman sesawang https://alard.my.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *