Artikel

Merdeka Zaitun!

Tanggal 1 Ogos, Kempen ‘Merdeka Zaitun’ Bermula.

Ogos 1, 2023

FOODEX JAPAN 2023
Assalamualaikum. Nama saya Nazran, orang Alor Setar (dibaca Loq Staq). Pengguna minyak zaitun sejak 2004, jatuh cinta dan kemudiannya terjun dalam industri minyak zaitun pada 2012. Sehingga hari ini masih ada dalam industri.
 
Industri minyak zaitun ini luas. Macam-macam benda ada di dalamnya. Ada yang baik, ada juga yang tidak.
 
Sebagai Certified Olive Oil Sommelier & Olive Oil Quality Assessor, saya suka berkongsi pengetahuan, tip, kesedaran dan panduan keselamatan dalam pemilihan dan penggunaan minyak zaitun.
 
Dari situlah datangnya nama ‘Sifu Minyak Zaitun’ yang saya guna di media sosial.
 
Sempena bulan Ogos, bulan kemerdekaan bagi Malaysia serta dua negara jiran kita Indonesia dan Singapura, saya lancarkan kempen ‘Merdeka Zaitun’.
 
Apa yang nak di’merdeka’kan?
Saya ingin memerdekakan fikiran anda daripada ilmu yang salah mengenai minyak zaitun.
Bagaimana caranya?
Selama 31 hari bermula hari ini saya akan berkongsi pengetahuan asas terkait industri minyak zaitun. Ilmu ini adalah gabungan 9 tahun pengalaman saya dalam industri serta siri latihan yang saya hadiri di luar negara. Pada masa yang sama, saya juga mendapat perkongsian ilmu oleh lebih 120 orang pengeluar minyak zaitun dari seluruh dunia.
Bersama Pokok Zaitun berusia 2000 tahun di Spain.
Apa yang ingin saya capai?
 
Misi saya sangat jelas. Saya ingin menyelamatkan orang baik daripada minyak zaitun yang buruk (saving good people from bad olive oil).
 
Bagi saya, siapa sahaja yang berhajat menggunakan minyak zaitun adalah orang yang cuba mencari kebaikan dan meningkatkan kualiti kesihatan diri.
 
Malangnya dek kerana kurang pengetahuan mereka terperangkap dan terjerumus menggunakan minyak zaitun yang entah apa kualitinya.
 
Akhirnya daripada nak jadi sihat, rupa-rupanya dia meracun diri tanpa sedar!
Salah satu sesi latihan ketika di Spain bagi mengenali Bad Olive Oil.
Jadi sepanjang bulan ini kita akan cerita tentang buah zaitun, proses perahan, jenis-jenis minyak, penipuan dalam industri, sampailah kepada mitos minyak zaitun yang entah dari mana datangnya.
 
Peranan anda?
 
Pertama, ikuti penulisan saya di sini (https://www.facebook.com/NazranAbdMutalib). Orang putih kata “watch this space”.
 
Kedua, buka fikiran. Kosongkan gelas. Sepanjang 31 hari ini pasti ada perkara yang akan buat anda terkejut, gembira, marah, sedih, kecewa dan lain-lain. 
 
Tenangkan diri. Apa-apa hal boleh tanya saya di ruang komen.
 
Ketiga, kongsikan setiap post kempen ‘Merdeka Zaitun’ ini. Anda pandai, isteri pandai, mak ayah pandai, saudara-mara pandai dan lepas ini jangan ‘terkena’ lagi, okay!
 
Terakhir – Buatlah keputusan dengan bijak. Selepas saya buat bahagian saya untuk berkongsi ilmu, terpulanglah kepada anda pula untuk membuat keputusan selanjutnya ya.
 
Sekian, salam MERDEKA dari saya.
 
Nazran Abd Mutalib
Certified Olive Oil Sommelier & Olive Oil Quality Assessor.
Malaysian Leading Olive Oil Educator.
.

Bersama His Excellency Walid Abu Ali, Palestinian Ambassador in Malaysia, Duta Besar Palestine ke Malaysia, Ziad Anabtawi dan Subhi Anabtawi dari Alard Palestinian Agri Products.

Merdeka Zaitun!

Fakta 1: Tiga Jenis Minyak Zaitun Yang Wajib Kita Tahu.

Ogos 2, 2023

Proses Penghasilan Minyak Zaitun Mengikut Gred
Kita mulakan kempen Merdeka Zaitun dengan mengenali tiga jenis minyak zaitun yang utama.
 
Di pasaraya, kita boleh lihat pelbagai jenis minyak zaitun. Antara yang biasa kita jumpa antaranya adalah virgin, extra virgin, pure, light, extra light, refined, pomace.
 
Semua ini memang nama untuk minyak zaitun, tapi tahukah kita apa beza antara mereka?
 
Tahu tak, ada yang asalnya termasuk dalam kategori ‘tidak sesuai untuk konsumsi manusia’ tapi selepas melalui beberapa proses, ia dijual di pasaran.
 
Kita pun beli dan guna tanpa tahu apa jenis minyak yang sebenarnya kita guna dan apa kesannya kepada kesihatan kita.
 
Perkara pertama perlu kita faham sebelum bercerita tentang jenis minyak zaitun adalah proses perahan buah zaitun itu sendiri.
Bila kita perah buah zaitun, ia menghasilkan tiga komponen iaitu:
 
i. Minyak
ii. Air
iii. Sedimen/ serdak
 
Air dan sedimen diasingkan kerana ia boleh merosakkan minyak zaitun dalam jangka masa panjang. Hal ini kita akan bincang lebih lanjut dalam post akan datang.
 
Sekarang, barulah kita cerita tentang jenis minyak zaitun.
Sesi mengenali minyak zaitun secara formal semasa mengikuti kursus latihan di Spain.
Daripada hasil perahan, kita akan dapat ‘virgin olive oil’.
 
Untuk mudah faham, Virgin olive oil ini kita anggap sebagai minyak mentah. Belum diuji kualitinya, belum dikategorikan penggunaan yang sesuai dengannya.
 
Ujian kualiti ditentukan dengan mengambil kira dua elemen iaitu ujian makmal dan ujian sensori (deria).
 
Ujian makmal menguji sifat minyak zaitun mengikut piawaian International Olive Oil Council (IOC). Badan ini menetapkan ada 300 aspek yang perlu diuji bagi setiap ‘batch’ perahan yang dibuat bagi menentukan kualiti minyak zaitun yang dihasilkan.
Contoh borang ujian sensori yang digunakan oleh panel penguji minyak zaitun.
Ujian sensori pula mengambil kira faktor rasa dan bau minyak zaitun, dilakukan oleh panel penguji yang bertauliah. Rupa-rupanya, ada banyak jenis bau minyak zaitun! Rujuk gambar untuk lihat contoh borang ujian yang digunakan oleh panel penguji.
 
Selepas melalui ujian di atas, barulah kita dapat tahu minyak yang kita perah tadi masuk dalam antara tiga gred seperti di bawah:
 
i. Extra Virgin Olive Oil – Sesuai untuk konsumsi manusia. Mengandungi semua khasiat minyak zaitun. Berkualiti tinggi, sesuai digunakan dalam masakan, boleh diguna untuk sapuan atas kulit dan boleh diminum terus.
ii. Virgin Olive Oil – Sesuai untuk konsumsi manusia. Boleh digunakan dalam masakan tetapi tidak sesuai untuk sapuan pada kulit atau diminum terus.
iii. Lampante Oil – Tidak sesuai untuk konsumsi manusia.

Sampel minyak zaitun yang digunakan dalam latihan mengenali jenis jenis minyak zaitun.

Apa yang berlaku selepas itu?
 
Extra Virgin Olive Oil (EVOO) dan Virgin Olive Oil (VOO) dibotolkan/ditinkan untuk dipasarkan. Proses pembotolan/pengetinan minyak zaitun pun ada caranya yang tersendiri. (Ini pun kita akan bincang nanti).
 
Salah cara, minyak akan rosak dan memberi kesan buruk kepada kesihatan manusia.
 
Apa pula yang berlaku kepada Lampante Oil?
 
Ada pengilang yang akan ambil minyak ini untuk diproses semula (refinery).
 
Melalui proses refinery, lahirlah jenis-jenis lain minyak zaitun yang dinamakan sebagai ‘pure’, light, extra light, refined, pomace dan lain-lain.
 
Ada yang lalui satu kali proses refinery, ada juga yang berkali-kali diproses semula.
 
Ketika proses inilah minyak yang asalnya tidak sesuai untuk konsumsi manusia tadi dicampurkan dengan bahan-bahan yang membuatkan ia dapat dijual semula ke dalam pasaran.
 
Ada yang dicampur pewangi, ada yang dicampur peluntur, ada yang dicampurkan dengan EVOO supaya dapat memikat hati pengguna.
 
Dengan cara ini, minyak yang asalnya berkualiti buruk dapat dinampakkan elok dan dibeli oleh pengguna dengan persepsi ia adalah minyak berkualiti dan berkhasiat tinggi.
 
Dalam perkongsian akan datang saya akan ceritakan dengan lebih mendalam cara untuk mengenal minyak lampante/ diproses semula ini.
Pesan saya, kalau nak beli untuk kegunaan sendiri, belilah antara EVOO atau VOO sahaja. Ketepikan yang lain. Sekarang anda dah ada pengetahuan. 
 
Buatlah keputusan dengan ilmu.
 
Nazran Abd Mutalib
Certified Olive Oil Sommelier & Olive Oil Quality Assessor.
Pendidik Minyak Zaitun Malaysia.