#2 Tiga Jenis Minyak Zaitun Yang Wajib Kita Tahu.

Fakta 1: Tiga Jenis Minyak Zaitun Yang Wajib Kita Tahu.
Kita mulakan kempen Merdeka Zaitun dengan mengenali tiga jenis minyak zaitun yang utama.
Di pasaraya, kita boleh lihat pelbagai jenis minyak zaitun. Antara yang biasa kita jumpa antaranya adalah virgin, extra virgin, pure, light, extra light, refined, pomace.
Semua ini memang nama untuk minyak zaitun, tapi tahukah kita apa beza antara mereka?
Tahu tak, ada yang asalnya termasuk dalam kategori ‘tidak sesuai untuk konsumsi manusia’ tapi selepas melalui beberapa proses, ia dijual di pasaran.
Kita pun beli dan guna tanpa tahu apa jenis minyak yang sebenarnya kita guna dan apa kesannya kepada kesihatan kita.
Perkara pertama perlu kita faham sebelum bercerita tentang jenis minyak zaitun adalah proses perahan buah zaitun itu sendiri.
Bila kita perah buah zaitun, ia menghasilkan tiga komponen iaitu:
i. Minyak
ii. Air
iii. Sedimen/ serdak
Air dan sedimen diasingkan kerana ia boleh merosakkan minyak zaitun dalam jangka masa panjang. Hal ini kita akan bincang lebih lanjut dalam post akan datang.
Sesi mengenali minyak zaitun secara formal semasa mengikuti kursus latihan di Spain.
Sekarang, barulah kita cerita tentang jenis minyak zaitun.
Daripada hasil perahan, kita akan dapat ‘virgin olive oil’.
Untuk mudah faham, Virgin olive oil ini kita anggap sebagai minyak mentah. Belum diuji kualitinya, belum dikategorikan penggunaan yang sesuai dengannya.
Ujian kualiti ditentukan dengan mengambil kira dua elemen iaitu ujian makmal dan ujian sensori (deria).
Ujian makmal menguji sifat minyak zaitun mengikut piawaian International Olive Oil Council (IOC). Badan ini menetapkan ada 300 aspek yang perlu diuji bagi setiap ‘batch’ perahan yang dibuat bagi menentukan kualiti minyak zaitun yang dihasilkan.
Ujian sensori pula mengambil kira faktor rasa dan bau minyak zaitun, dilakukan oleh panel penguji yang bertauliah. Rupa-rupanya, ada banyak jenis bau minyak zaitun! Rujuk gambar untuk lihat contoh borang ujian yang digunakan oleh panel penguji.
Selepas melalui ujian di atas, barulah kita dapat tahu minyak yang kita perah tadi masuk dalam antara tiga gred seperti di bawah:
i. Extra Virgin Olive Oil – Sesuai untuk konsumsi manusia. Mengandungi semua khasiat minyak zaitun. Berkualiti tinggi, sesuai digunakan dalam masakan, boleh diguna untuk sapuan atas kulit dan boleh diminum terus.
ii. Virgin Olive Oil – Sesuai untuk konsumsi manusia. Boleh digunakan dalam masakan tetapi tidak sesuai untuk sapuan pada kulit atau diminum terus.
iii. Lampante Oil – Tidak sesuai untuk konsumsi manusia.
Contoh borang ujian sensori yangvdigunakan oleh panel penguji minyak zaitun.
Sampel minyak zaitun yang digunakan dalam latihan mengenali jenis jenis minyak zaitun.
Apa yang berlaku selepas itu?
Extra Virgin Olive Oil (EVOO) dan Virgin Olive Oil (VOO) dibotolkan/ditinkan untuk dipasarkan. Proses pembotolan/pengetinan minyak zaitun pun ada caranya yang tersendiri. (Ini pun kita akan bincang nanti).
Salah cara, minyak akan rosak dan memberi kesan buruk kepada kesihatan manusia.
Apa pula yang berlaku kepada Lampante Oil?
Ada pengilang yang akan ambil minyak ini untuk diproses semula (refinery).
Melalui proses refinery, lahirlah jenis-jenis lain minyak zaitun yang dinamakan sebagai ‘pure’, light, extra light, refined, pomace dan lain-lain.
Ada yang lalui satu kali proses refinery, ada juga yang berkali-kali diproses semula.
Ketika proses inilah minyak yang asalnya tidak sesuai untuk konsumsi manusia tadi dicampurkan dengan bahan-bahan yang membuatkan ia dapat dijual semula ke dalam pasaran.
Ada yang dicampur pewangi, ada yang dicampur peluntur, ada yang dicampurkan dengan EVOO supaya dapat memikat hati pengguna.
Dengan cara ini, minyak yang asalnya berkualiti buruk dapat dinampakkan elok dan dibeli oleh pengguna dengan persepsi ia adalah minyak berkualiti dan berkhasiat tinggi.
Dalam perkongsian akan datang saya akan ceritakan dengan lebih mendalam cara untuk mengenal minyak lampante/ diproses semula ini.
Pesan saya, kalau nak beli untuk kegunaan sendiri, belilah antara EVOO atau VOO sahaja. Ketepikan yang lain. Sekarang anda dah ada pengetahuan. Buatlah keputusan dengan ilmu.
Nazran Abd Mutalib
Certified Olive Oil Sommelier & Olive Oil Quality Assessor.
Pendidik Minyak Zaitun Malaysia.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *