#17 LANDSKAP PENIPUAN MINYAK ZAITUN DI MALAYSIA

FAKTA 16: LANDSKAP PENIPUAN MINYAK ZAITUN DI MALAYSIA.
Di Malaysia, penipuan minyak zaitun lebih mudah berlaku kerana tiada kawal selia badan pengawasan atau pihak berkuasa.
Ada dua cara membawa masuk minyak zaitun ke Malaysia. Cara pertama adalah produk yang telah siap dibotolkan di negara asal dan cara kedua adalah secara pukal.
Bagi minyak yang dibotol di negara asal, pengimport perlu menyediakan Certificate of Analysis (COA).
Pihak kastam akan membandingkan apa yang tertulis pada label produk dengan apa yang tertera dalam COA.
Kalau di label tulis Extra Virgin, COA mesti buktikan ia adalah Extra Virgin. Jika ada tulis produk organik, maka kena ada dokumen mengesahkan ia produk organik.
Bagi minyak zaitun kategori ini, mudah bagi pengguna untuk menentukan kesahihan kandungan dalam botol dengan label yang terpapar sebab ia tidak akan dibuka dan tidak akan dibotolkan semula.
PEMBOTOLAN SEMULA PINTU PENIPUAN
Sekarang kita masuk ke topik yang lebih ‘seram’.
Cara kedua membawa masuk minyak zaitun ke Malaysia adalah dalam bentuk pukal. Biasanya diisi dalam dram.
Sama macam cara pertama tadi, kalau pengimport isytihar ia sebagai Virgin Olive Oil, perlu ada COA mengesahkan ia adalah Virgin Olive Oil. Begitu juga dengan jenis lain.
Di pintu masuk negara alhamdulillah tiada masalah. Cerita selepas itu yang kita risaukan sebab pengimport boleh buat apa sahaja dengan minyak itu.
Antara aktiviti yang biasa berlaku adalah pembotolan semula minyak zaitun untuk dipasarkan kepada pengguna.
Malaysia tidak ada badan pengawasan bagi produk makanan yang dipek semula. Minyak zaitun adalah bahan makanan. Ia bukan seperti produk farmaseutikal yang perlu mendapat kelulusan KKM.
Pengilang hanya perlu daftarkan FoSIM (Food Safety Information System of Malaysia). Ia didaftarkan ketika produk itu diimport untuk menentu sahihkan bahan yang diimport.
Ketika didaftarkan dalam FoSIM, memang ia diisytihar dengan betul.
Tetapi dalam kilang pembotolan semula, macam-macam ‘magis’ boleh berlaku pada label produk.
Minyak gred Virgin Olive Oil, tiba-tiba ‘naik taraf’ dilabelnya sebagai Extra Virgin Olive Oil.
Produk tanpa sijil organik tiba-tiba ada logo organik.
Yang tiada sijil halal pun tiba-tiba ada logo halal.
Minyak yang asal dari Turki, tiba-tiba ditukar jadi minyak dari Palestin.
Ini semua adalah penipuan.
KERANA DUIT
Apa keuntungan bagi pembuat onar? Semuanya ada kaitan dengan DUIT.
Bila minyak Virgin Oil dijual sebagai Extra Virgin, harganya jadi mahal.
Minyak bukan organik dijual sebagai organik, harganya jadi tinggi.
Minyak tiada sijil halal diletak logo halal untuk perkudakan keyakinan pengguna.
Minyak murah dari Turki, Tunisia, Morocco, Mesir dan lain-lain dilabel sebagai minyak dari Palestin, kerana minyak dari Palestin memang lebih mahal.
Kesimpulannya, bila minyak zaitun dibotolkan di Malaysia, pembotol boleh letak label apa sahaja yang dia mahu sebab tidak ada siapa pun yang akan kawal.
Demi mengejar keuntungan ada maklumat yang yang diada-adakan dan ada yang dipalsukan.
Sticker baru digunakan bagi menutup sticker asal dari pengeluar.
SIAPA NAK PERIKSA?
Minyak Zaitun Telah Expired Tetapi Dipadamkan Maklumat Asal dan Digantikan Dengan Tarikh Baru Secara Manual.
Kerja siapa nak periksa semua itu?
Adakah ini kerja Kementerian Kesihatan atau Kementerian Perdagangan Dalam Negeri?
Bagi saya, lebih sesuai KPDN sebab Akta Pelabelan Makanan di bawah KPDN.
Disebabkan tak ada kawalanlah Malaysia ini jadi sasaran lambakan produk tidak berkualiti dan tidak diketahui asal-usulnya.
Tolonglah wahai pengguna sekalian. Perhati betul-betul label minyak zaitun yang anda beli.
Kalau tiada maklumat pengeluar, JANGAN BELI.
Kalau hanya ada maklumat pengedar, JANGAN BELI.
Kalau tiada harvest date, JANGAN BELI.
Nazran Abd Mutalib
Certified Olive Oil Sommelier & Olive Oil Quality Assessor.
Pendidik Minyak Zaitun Malaysia.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *